Kerajaan Cadang Semakan Semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pembentangan rasmi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Selasa berhubung cadangan semakan semula Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU), dalam usaha memperkukuh nilai kenegaraan dan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Cadangan tersebut dirangka hasil libat urus menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertahanan.

Menurut hantaran di Facebook Anwar, ia dibentuk melalui kajian keberkesanan dan hala tuju baharu pelaksanaan MPU agar lebih segar, relevan dan berkesan.

Kata Anwar, penambahbaikan itu penting bagi memastikan pendekatan MPU selari dengan keperluan semasa dan mampu membina jati diri pelajar secara holistik.

“Sebagai langkah awal, saya telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah turut diutamakan termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa,” katanya.

Selain institusi pengajian tinggi awam dan swasta katanya, pelaksanaan MPU yang disemak semula juga akan diperluas ke semua institut latihan di seluruh negara bagi memastikan impaknya lebih menyeluruh dan inklusif.

Anwar berkata, cadangan itu dijangka dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran kebangsaan serta melahirkan generasi berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan seimbang dari segi ilmu dan jati diri.

Untuk rekod, MPU mula diperkenalkan pada tahun 2011 sebagai syarat wajib bagi pelajar institusi pengajian tinggi dengan matlamat membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki semangat kenegaraan yang tinggi.

Anda Mungkin Berminat