PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pas Kapar, Dr Halimah Ali yang menyatakan penurunan harga RON95 sebagai langkah kosmetik dengan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai dangkal dan cuba mengelirukan rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan AMK, Noor Atillah Abdullah Sani berkata, Halimah seharusnya menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, bukannya memberi gambaran seolah-olah pembangkang lebih selesa jika subsidi RON95 terus dinikmati oleh bukan warganegara.
Dalam kenyataan media pada Selasa, Noor Atillah menyifatkan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebagai langkah tepat dan berkesan dalam memastikan subsidi petrol disalurkan secara langsung kepada rakyat Malaysia tanpa ketirisan.
“Penurunan petrol ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program BUDI95 yang mana setiap warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak secara automatik menerima subsidi sehingga 300 liter sebulan.
“Langkah ini baik untuk negara kerana subsidi petrol benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia tanpa ketirisan daripada pihak luar atau golongan tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat tidak hanya bergantung kepada penurunan harga minyak, malah turut melibatkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang telah bermula sejak Februari 2025.
Selain itu katanya, pelbagai bantuan lain turut disalurkan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“STR menyediakan bantuan tunai sehingga RM650 setahun, manakala SARA membolehkan rakyat membeli barangan asas menggunakan MyKad di pasar raya terpilih,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Halimah Ali menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada Isnin menyifatkan penurunan enam sen harga petrol menerusi inisiatif BUDI95 sebagai kecil dan tidak memberi impak ketara kepada ekonomi rakyat.
Menurutnya, penjimatan beberapa ringgit sebulan daripada pengisian minyak kereta itu langsung tidak mengimbangi beban sebenar yang ditanggung rakyat.








