BUDI95: Hampir 912,000 Penerima STR, ATM Dan PDRM Rekod Transaksi RM43.7 Juta

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI95 menunjukkan penerimaan positif apabila hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanfaatkan skim tersebut di seluruh negara.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, setakat pukul 7 malam 29 September 2025, jumlah itu diterjemahkan kepada RM43.7 juta pembelian dengan penggunaan lebih 21.8 juta liter RON95 di stesen minyak.

Kerajaan menjelaskan pencapaian itu membuktikan subsidi bersasar benar-benar sampai kepada golongan sasar, sekali gus mengurangkan ketirisan yang selama ini dinikmati oleh golongan tidak layak.

“Penerimaan baik daripada rakyat, termasuk anggota keselamatan negara, membuktikan BUDI95 memberi kesan langsung dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya.

BUDI95 merupakan langkah baharu kerajaan untuk memastikan penerima STR, anggota ATM dan PDRM dapat menikmati harga petrol lebih rendah melalui kaedah subsidi bersasar.

Selain meringankan perbelanjaan harian, inisiatif itu juga dilihat sebagai pengiktirafan kepada anggota keselamatan negara yang sentiasa berada di barisan hadapan menjaga keamanan.

Kerajaan sebelum ini menegaskan, pelaksanaan BUDI95 akan diperluaskan secara berperingkat bagi memastikan rakyat benar-benar menikmati faedah daripada hasil penstrukturan semula subsidi.

Anda Mungkin Berminat