Meta Nafi Dakwaan Akaun Palsu Sokong PM Anwar di Facebook

PUTRAJAYA: Meta menafikan wujudnya tingkah laku tidak tulen terselaras (Coordinated Inauthentic Behaviour, CIB) membabitkan ratusan akaun di laman Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, syarikat induk Facebook itu mengesahkan kepadanya bahawa 263 akaun yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini sebagai tidak sahih sebenarnya adalah akaun tulen.

“Meta melalui pasukan khas yang memantau isu berkaitan CIB mendapati tiada tindakan diambil terhadap akaun berkenaan, dan tiada halaman Facebook Malaysiakini yang diturunkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet, hari ini.

Semalam, portal itu melaporkan lebih 200 akaun Facebook didakwa memperbesarkan sokongan terhadap Anwar secara tidak sahih di platform itu, selain mendakwa dua halaman Facebook milik portal berkenaan diturunkan.

Fahmi menambah, Meta turut memaklumkan bahawa tiada wakil Malaysiakini menghubungi mereka berhubung dakwaan berkenaan, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga tidak menerima sebarang laporan mengenai isu itu.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menjalankan siasatan sendiri, beliau berkata Meta tidak akan “menipu” dan menegaskan isu pengesahan identiti pengguna media sosial, khususnya kanak-kanak, lebih wajar diberi perhatian.

Berhubung dakwaan pengulas politik Murray Hunter bahawa ulasannya dipadamkan atas arahan MCMC, Fahmi menjelaskan beliau belum menerima sebarang maklumat dan akan menyemak perkara itu dengan pihak berkaitan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat