PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kefahaman kewangan yang seimbang dalam kalangan rakyat sebagai asas memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Beliau berkata, tahap literasi kewangan yang cetek sering membawa kepada masalah seperti terperangkap dalam penipuan dan salah urus kewangan.
“Kita tidak boleh mudah tertipu kerana kefahaman asas itu lemah. Maka usaha mendidik masyarakat harus bermula lebih awal,” katanya dalam Majlis Peluncuran Bulan Literasi Kewangan 2025 dan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030.
Menurut Anwar, institusi kewangan yang mempunyai cawangan di seluruh negara perlu mengambil peranan proaktif mendekati sekolah, masjid dan persatuan komuniti bagi menyebarkan pengetahuan kewangan.
Anwar turut mengaitkan literasi kewangan dengan keperluan memperkukuh pendidikan bahasa, penguasaan bahasa Inggeris dan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Ini semua cabang penting untuk memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Anwar turut menekankan agar tiada golongan masyarakat terpinggir dalam usaha memperkukuh literasi kewangan.
“Tidak kira dari kaum, agama atau daerah mana sekalipun, semua harus diangkat bersama,” ujarnya.
Beliau optimis Malaysia memiliki kekuatan sumber manusia dan khazanah mencukupi untuk menjayakan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030.
“Harapan saya, usaha ini akan memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkat,” katanya.
Anwar juga merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia serta rakan strategik yang menjayakan inisiatif ini. Beliau berharap penyelarasan berterusan mampu menjadikan kempen literasi kewangan lebih berkesan.
Baca juga: