PETALING JAYA: Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby memaklumkan perkembangan positif mengenai keselamatan delegasi Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata, keseluruhan peserta dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan terkawal walaupun berdepan cabaran daripada rejim Israel di perairan antarabangsa.
“Saya ingin tegaskan bahawa misi ini adalah sepenuhnya ‘non-violence’. Delegasi kita terdiri daripada masyarakat sivil, bukan membawa sebarang bentuk provokasi atau senjata,” katanya dalam sidang media harian perkembangan misi itu.
Menurutnya, faktor tekanan global yang semakin meningkat telah mempercepatkan rundingan dengan pihak Israel. Perkara ini memberikan harapan bahawa proses pembebasan tahanan akan berjalan lebih lancar.
“Apabila dunia bersatu menyuarakan bantahan, rejim Zionis mula berkompromi. Ini bukti solidariti antarabangsa memberi kesan langsung,” jelasnya.
Sani turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus menunjukkan sokongan melalui doa, demonstrasi aman dan pelbagai inisiatif solidariti untuk Gaza.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa setiap bentuk perhimpunan mesti dilakukan secara tertib agar selari dengan semangat misi GSF yang menolak provokasi.
Misi Global Sumud Flotilla diketuai oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa termasuk Malaysia, dengan beberapa kapal belayar ke Gaza membawa mesej kemanusiaan.
Baca juga:







