Selangor Peruntuk RM1 Juta Tubuh Pusat Kemanusiaan Antarabangsa

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM1 juta bagi menubuhkan Malaysian International Humanitarian Centre (MIHC) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi memperkukuh gerak kerja misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhan pusat itu akan memberi tumpuan kepada aspek logistik, penyediaan kemudahan dan penggemblengan sukarelawan bagi operasi bantuan antarabangsa serta bencana dalam negara.

“Peruntukan ini penting bagi memastikan Selangor terus aktif menyokong misi kemanusiaan global dan memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM Central Warehouse, Sepang malam tadi bagi meninjau perkembangan semasa misi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk status rakyat Selangor yang menyertai misi berkenaan.

Menurut Amirudin, berdasarkan taklimat yang diberikan Ketua Pengarah MAPIM, Datuk Sani Araby, seramai 27 sukarelawan Malaysia termasuk rakyat Selangor terlibat dalam misi itu yang memberi impak positif kepada usaha kemanusiaan di Gaza.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan komitmen Selangor sebagai negeri pertama yang melancarkan tabung khas pembinaan apartmen tujuh tingkat, masjid dan tangki air Darul Ehsan di Gaza.

“Dua kenderaan bantuan masih beroperasi di wilayah berkenaan walaupun satu ambulans telah musnah,” katanya.

Sementara itu, Sani turut memaklumkan usaha berterusan sedang dijalankan bagi membebaskan rakyat Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis.

“Berkat doa rakyat Malaysia serta usaha diplomasi yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, insya-Allah rakyat Malaysia yang terlibat akan pulang dengan selamat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat