TELUK INTAN: Sebanyak RM1.49 juta disalurkan kepada 12 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 258 pelajar India di Parlimen Teluk Intan menerusi inisiatif Kasih Madani sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, berkata sumbangan itu adalah jumlah tertinggi dalam sejarah kawasan berkenaan dan bukti keprihatinan kerajaan Madani terhadap kesejahteraan semua kaum.
“Daripada jumlah berkenaan, RM1.23 juta disalurkan kepada 12 SJKT di Teluk Intan termasuk SJK(T) Datuk Sithambaram Pillay, SJK(T) Ladang Nova Scotia dan SJK(T) Thiruvalluvar, manakala RM256,600 diagihkan kepada 258 pelajar yang masing-masing menerima RM1,000 hingga RM2,000 bergantung pada peringkat pengajian” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Sabtu.
Nga berkata, bantuan itu akan digunakan untuk menaik taraf prasarana sekolah serta membantu pelajar B40 agar terus bersemangat mencapai kecemerlangan akademik.
“Saya percaya dengan adanya sumbangan ini, anak-anak kita akan lebih bersemangat belajar dan ibu bapa juga sedikit lega menjelang Deepavali hujung bulan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat inklusif kerajaan Madani bukan sekadar slogan, sebaliknya dasar yang diterjemahkan melalui pelaksanaan menyeluruh tanpa mengira kaum.
“Laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita bukan sekadar kata-kata, tetapi cerminan dasar kerajaan Madani yang prihatin dan penyayang,” katanya.
Baca juga: