KUALA LUMPUR: Detik pembebasan 23 rakyat Malaysia daripada tahanan rejim Zionis Israel membawa bersama kisah-kisah ngeri yang menggemparkan dunia.
Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mendedahkan layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang mereka alami sepanjang ditahan di Penjara Negev.
Hazwani Helmi, yang menyertai misi bersama kakaknya, aktivis terkenal Heliza Helmi, meluahkan rasa trauma sebaik tiba di Lapangan Terbang Istanbul.
“Mereka layan kami seperti binatang. Malah ubat-ubatan kami turut dibuang,” katanya kepada media.
Hazwani turut menceritakan bagaimana aktivis iklim antarabangsa Greta Thunberg turut menjadi mangsa kekejaman tentera Israel.
“Ia ibarat satu bencana besar. Mereka bukan sahaja tidak memberikan kami makanan dan minuman bersih, malah mengheret Greta Thunberg serta meletakkan bendera Israel di wajahnya.
“Saya rasa dunia perlu tahu betapa kejamnya mereka,” katanya lagi.
Pengakuan itu disokong oleh aktivis dari Amerika Syarikat, Windfield Bifr, yang menyaksikan sendiri insiden melibatkan Greta.
“Saya duduk tidak jauh dari Greta. Saya lihat mereka menolak dan menariknya masuk ke sebuah bilik semata-mata untuk menakut-nakutkan kami.
“Itu cuma sedikit daripada apa yang rakyat Palestin hadapi setiap hari,” katanya kepada sebuah stesen televisyen Arab.
Lebih menyayat hati, seorang lagi delegasi Malaysia, Iylia Balqis, mendedahkan mereka dipaksa menyalin pakaian dan ditempatkan dalam sangkar di bawah terik matahari.
Wanita Islam turut diarahkan membuka hijab, satu tindakan yang jelas mencabuli hak asasi dan kebebasan beragama.
“Ada peserta wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab. Kami hanya diberi minum air paip dari tandas. Mereka buat kami rasa jijik dengan diri sendiri,” katanya.
Misi GSF yang berlayar sejak bulan lalu membawa lebih 400 aktivis dan sukarelawan dari seluruh dunia yang bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Namun, konvoi itu dipintas secara paksa oleh tentera Israel di perairan antarabangsa dan kesemua aktivis dibawa ke pusat tahanan.
Terdahulu, seramai 137 aktivis dari 13 negara termasuk 23 rakyat Malaysia dan 36 warga Turkiye telah dibebaskan dan diterbangkan ke Istanbul.








