KPM Perkukuh Aspek Keselamatan Sekolah, Tiada Kompromi – Fadhlina

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah seliaannya dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha mempertingkat tahap keselamatan di sekolah dan institusi pendidikan tidak pernah berhenti dan akan terus diperkasa dari semasa ke semasa.

“Ikhtiar kami untuk meningkatkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah padam.

“Apa sahaja ruang tambah baik, akan kami tangani dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Fadhlina, beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh bagi membincangkan langkah-langkah memperkukuh keselamatan dan kesihatan di sekolah.

Katanya, antara kerjasama yang bakal dilaksanakan termasuk Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) kepada pentadbir sekolah, semakan semula Manual Sekolah Selamat agar selari dengan piawaian keselamatan terbaik serta audit keselamatan sekolah bersama Jemaah Nazir.

“NIOSH bersedia berkongsi kepakaran dalam beberapa inisiatif penting ini bagi memastikan tahap keselamatan di sekolah berada pada tahap optimum,” katanya.

Fadhlina turut berkata, tiada kompromi terhadap pematuhan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan kerana sekolah perlu menjadi ruang paling selamat untuk murid dan warga pendidik.

“Sekolah perlu menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak. Ini amanah yang perlu kita galas bersama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat