PARLIMEN | Sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini menyaksikan beberapa isu penting diketengahkan termasuk cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya serta pembangunan tanah Rizab Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Mengikut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan pendirian kerajaan berhubung status terkini cadangan pemisahan kuasa antara dua institusi perundangan utama negara itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, membangkitkan kebimbangan mengenai pembangunan tanah Rizab Melayu di ibu negara khususnya di Kampung Baru.
Beliau menekankan isu pemilikan bertindih dan nilai pasaran yang rendah sebagai antara faktor utama yang menghalang kemajuan kawasan berkenaan.
Turut mencuri perhatian ialah persoalan dasar luar Malaysia pasca Sidang Kemuncak Tergempar Arab Islam (OIC).
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, meminta penjelasan daripada Menteri Luar Negeri mengenai perubahan pendirian Malaysia terhadap konflik berpanjangan di Gaza dan Palestin.
Sidang kali ini dijangka menjadi medan penting untuk kerajaan memperjelas hala tuju dasar dalam memperkukuh tadbir urus, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkasa agenda rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan pada 10 Oktober ini.








