Farhan Bertemu Aktivis Di Istanbul, Tegaskan Ini Bukan Pengakhiran

ISTANBUL: Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menegaskan perjuangan membebaskan Palestin belum berakhir meskipun aktivis Malaysia dalam Misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini telah selamat berada di Istanbul selepas dibebaskan oleh rejim Zionis.

Katanya, sebaik tiba di Istanbul, beliau bersama Datuk Dr Sany Araby segera bergegas bertemu dengan semua peserta aktivis Malaysia bagi memastikan keadaan mereka stabil selepas melalui detik sukar dalam tahanan.

“Alhamdulillah, hampir keseluruhan delegasi berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar untuk pemeriksaan kesihatan sesegera mungkin.

“Mereka tetap bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farhan menjelaskan, kebanyakan aktivis terpaksa membuang telefon bimbit ke laut bagi mengelak maklumat mereka jatuh ke tangan rejim Israel, menyebabkan mereka kini berada di Istanbul tanpa peranti komunikasi dan jauh daripada keluarga.

Menurutnya, atas amanah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau akan membantu menguruskan urusan aktivis terbabit di Istanbul termasuk memastikan mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat dalam masa terdekat.

“Kepulangan mereka bukanlah pengakhiran kepada perjuangan tetapi lambang bagaimana negara kecil seperti Malaysia kekal teguh dengan prinsip dan rakyatnya berani berdepan kekejaman kuasa besar.

“Mohon doa semua untuk keselamatan wira dan wirawati negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat