PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar Malaysia kekal berani, berstrategi dan berpandangan jauh dalam mendepani ketidaktentuan global yang semakin mencabar termasuk konflik geopolitik, ketegangan perdagangan dan perubahan teknologi yang pesat.
Berucap pada Forum Megatrend Khazanah 2025 di Hotel Mandarin Oriental, Anwar berkata, dunia kini sedang dilanda gelombang perlindungan ekonomi yang bukan sahaja menjejaskan sistem perdagangan antarabangsa, malah turut menghakis kepercayaan global.
“Malaysia mesti berlayar dengan haluan yang tetap, berpaksikan ketahanan dan pandangan jauh strategik.
“Kita tidak boleh hanyut dalam arus ketidaktentuan,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh isu kemanusiaan di Gaza, menyambut baik perkembangan ke arah gencatan senjata dan menggesa agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
“Tragedi Gaza membakar hati nurani manusia sejagat. Keamanan tidak akan datang serta-merta, namun ia mesti bermula dengan keberanian untuk menghentikan pembunuhan,” tegasnya, sambil memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla telah dibebaskan.
Anwar turut berkata, keperluan reformasi fiskal, tadbir urus dan pengurusan subsidi sebagai langkah penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, telus dan saksama.
“Pertumbuhan mesti disertai keadilan sosial. Itulah semangat Malaysia Madani di mana kemakmuran tidak boleh dicapai dengan mengorbankan kemanusiaan,” ujarnya.
Forum Megatrend Khazanah 2025 menjadi pentas penting bagi Anwar untuk menggariskan visi Malaysia dalam menghadapi cabaran global dengan semangat Madani sebagai teras utama.