KKM Cadang Naik Cukai Vape Kepada RM4 Per Mililiter

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan peningkatan drastik kadar cukai ke atas cecair vape daripada RM0.40 kepada RM4 bagi setiap mililiter, sebagai langkah menyelaraskan cukai produk vape dengan rokok konvensional.

Cadangan itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan kesaksamaan dalam dasar percukaian nikotin serta memperkukuh usaha kawalan terhadap penggunaan produk tembakau dan vape.

“Oleh itu, kadar cukai yang dicadangkan bagi cecair vape adalah daripada RM0.40 kepada RM4 per mililiter.

“Ini adalah cadangan rasmi KKM yang akan dikemukakan kepada MOF untuk pertimbangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Lukanisman menjelaskan bahawa satu batang rokok bersamaan 10 sedutan atau puf, manakala satu kotak rokok bersamaan 200 puf.

Katanya lagi, cecair vape pula mengandungi kira-kira 100 puf bagi setiap mililiter, menjadikan dua mililiter setara dengan satu kotak rokok.

Wan Saiful dalam sesi tersebut turut mencadangkan agar kerajaan menyamaratakan kadar cukai nikotin antara rokok dan vape serta memperkenalkan harga lantai bagi produk nikotin bagi mengelakkan jurang harga yang ketara antara kedua-duanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lukanisman memaklumkan bahawa penguatkuasaan penuh larangan merokok dan penggunaan vape di tempat awam telah bermula sejak 1 Oktober 2024, selaras dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau menegaskan komitmen KKM untuk mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang tersebut dan menyeru masyarakat agar turut memainkan peranan dalam memastikan pematuhan.

“Kita perlukan sokongan masyarakat untuk menegur perokok di kawasan larangan.

“Ia perlu menjadi budaya agar usaha menjaga kesihatan awam dapat dicapai secara menyeluruh,” katanya, sambil menekankan bahawa kejayaan dasar ini bergantung kepada kerjasama rakyat dalam menegakkan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Anda Mungkin Berminat