Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: “Perjuangan ini bukan tentang kami, ini tentang Palestin.” Itu antara mesej utama disampaikan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menegaskan perjuangan mereka bukan untuk meraih pujian, sebaliknya bagi membela nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi.
Menurutnya, penyertaan dalam misi kemanusiaan itu bertujuan memberi tekanan kepada dunia agar tidak terus berdiam diri terhadap kezaliman dan pembunuhan berterusan di Gaza.
“Misi ini tentang Gaza, tentang membangkitkan suara rakyat untuk menolak kekejaman dan menyokong pembebasan Al-Aqsa serta Palestin,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti bersama Gaza di Axiata Arena Bukit Jalil, pada Rabu.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Sani Araby.
Farah turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus bersatu menunjukkan sokongan terhadap perjuangan itu, termasuk usaha Perdana Menteri yang membebaskan sukarelawan negara yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Katanya, kebangkitan rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama membuktikan solidariti kemanusiaan Malaysia kekal utuh dan tidak bergantung kepada perbezaan individu.
“Tanpa suara rakyat, perjuangan kami tiada makna. Semoga kesatuan ini diteruskan sehingga Palestin benar-benar bebas suatu hari nanti,” katanya.
Baca juga:








