145 Aktivis Flotilla Dipindah Ke Penjara Ketziot, 9 Rakyat Malaysia Selamat

KUALA LUMPUR: Seramai 145 aktivis daripada misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dilaporkan telah dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel, selepas kapal mereka dipintas oleh tentera rejim itu baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, peguam dari pertubuhan hak asasi ADALAH memaklumkan bahawa sembilan kapal telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod setakat ini.

“Kesemua aktivis kini berada di penjara Ketziot. Peguam ADALAH telah bertemu dengan sebahagian daripada mereka dan proses guaman sedang dijalankan. Terdapat aktivis yang mengalami keganasan semasa pemintasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sembilan wakil Malaysia yang menyertai misi itu disahkan selamat, dengan tujuh daripada mereka telah berjumpa dengan peguam bagi urusan guaman selanjutnya.

Katanya, peguam ADALAH menuntut untuk hadir dalam semua perbicaraan dan akan memberikan maklumat terkini sebaik mendapat kebenaran lanjut daripada pihak berkuasa Israel.

Dalam pada itu, tiga ahli Parlimen Turki yang turut menyertai misi dijangka dihantar pulang malam ini atau esok pagi, manakala perbicaraan tribunal terhadap aktivis lain dijangka berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang.

Anda Mungkin Berminat