PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa peningkatan hasil negara dalam Belanjawan 2026 bukanlah hasil daripada cukai baharu atau beban tambahan ke atas rakyat, sebaliknya berpunca daripada pembaikan tatakelola dan tindakan tegas membanteras rasuah serta ketirisan.
Anwar berkata, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2026 diunjur meningkat kepada RM343.1 bilion, berbanding RM334.1 bilion tahun ini, disokong oleh keberkesanan reformasi fiskal dan langkah penguatkuasaan yang lebih cekap.
“Lazimnya, apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, akan dikenakan cukai tambahan. Tapi Kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, sejak pelaksanaan dasar di bawah kerangka MADANI, agensi penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti berjumlah hampir RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Beliau menegaskan, angka itu menunjukkan sejauh mana kebocoran dan rasuah telah “terbiar sekian lama” akibat kelemahan penguatkuasaan dan kurangnya tekad politik sebelum ini.
“Bayangkan wang yang disakau dan dirompak, yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah 15.5 bilion ringgit,” ujar beliau, sambil memetik amaran klasik Montesquieu bahawa ‘kuasa tanpa pertanggungjawaban adalah permulaan kepada kezaliman’.
Antara kejayaan terbaru, katanya, PDRM berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, menandakan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam melawan ekonomi gelap dan penyeludupan.
Baca juga:








