RUU Antibuli 2025 Bakal Dibentang, Jenayah Senyap Mesti Dinoktah – Anwar

PARLIMEN | Gejala buli yang semakin berleluasa di pelbagai lapisan masyarakat perlu ditangani secara menyeluruh dan tanpa kompromi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan buli sebagai ‘jenayah senyap’ yang telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah meragut nyawa insan.

“Buli ialah jenayah senyap yang mesti dinoktahkan.

“Gejala ini sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya, telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah meragut nyawa insan.

“Kita mesti putuskan rantaian kezaliman ini sampai ke akar, melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi,” tegasnya.

Sebagai langkah konkrit, Anwar berkata, kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 pada sesi mesyuarat Parlimen kali ini.

RUU tersebut dijangka menjadi tonggak utama dalam memperkukuh tindakan undang-undang terhadap pelaku buli serta memperluas perlindungan kepada mangsa di semua peringkat.

Selaras dengan komitmen ini katany, seluruh kekuatan dan tenaga jentera kerajaan digembleng merentasi kementerian untuk mengekang gejala buli secara sistematik dan bersepadu.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai pelan menyeluruh pencegahan buli di sekolah termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.

“Di peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkatkan keselamatan mahasiswa dengan menambah kamera litar tertutup (CCTV) di kampus serta menganjurkan program sahsiah dan kepimpinan sebagai langkah pencegahan buli dan ragging,” katanya.

Sementara itu katanya lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok bagi membantu mangsa buli pulih dari segi emosi dan mental.

Manakala Kementerian Komunikasi pula melaksanakan Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah, memandangkan buli siber semakin menjadi ancaman utama dalam era digital.

Tambahnya lagi, di peringkat akar umbi, Rakan Muda turut menggerakkan ikhtiar ‘Lawan Buli’ dalam kalangan belia sebagai usaha membina budaya hormat dan empati dalam komuniti.

Anda Mungkin Berminat