PARLIMEN | Belanjawan MADANI 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan memperkukuh sistem kesihatan awam negara dengan peruntukan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu meningkat berbanding RM45.3 bilion tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menumpukan kepada enam isu utama sektor kesihatan termasuk peningkatan mutu prasarana, mengurangkan kesesakan hospital awam dan memperluas akses perkhidmatan kepada rakyat.
Antara langkah utama diumumkan ialah RM1.2 bilion diperuntuk untuk penyelenggaraan dan baik pulih semua hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.
Sejumlah RM100 juta bagi menaik taraf wad hospital daerah.
Manakala RM755 juta untuk menggantikan peralatan perubatan lapuk dan mendapatkan teknologi canggih bagi disiplin baharu.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia(SKMM) diperuntukkan RM650 juta untuk meningkatkan capaian internet di hospital awam, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak serta klinik komuniti dan desa.
Bagi menangani isu kesesakan hospital awam, kerajaan memperluas kerjasama dengan hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM140 juta.
Selain itu, RM30 juta disalurkan untuk memperkasa peranan klinik kesihatan sebagai pusat rujukan pakar komuniti.
Dalam masa sama, beberapa projek baharu turut diumumkan, termasuk Pusat Kanser Wilayah Utara di Kedah, Blok tambahan baharu di Hospital Pontian, Hospital Banting dan Hospital Sungai Buloh dan Advanced Surgical Block di Hospital Pakar USM, Kubang Kerian.
Termasuk juga Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II; 13 Klinik Kesihatan baharu, antaranya di Machang (Kelantan), Teluk Kemang (Negeri Sembilan), Mukah (Sarawak) dan Nabawan (Sabah) serta penyegerakan projek Pusat Kanser Kuching dan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor.
Belanjawan ini menegaskan iltizam kerajaan untuk menjadikan sistem kesihatan awam Malaysia lebih moden, efisien dan inklusif, seiring prinsip Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama.








