PARLIMEN | Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang terus berkhidmat dengan dedikasi demi menjayakan dasar-dasar MADANI untuk kesejahteraan rakyat.
Sebagai tanda penghargaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memperkukuh kemudahan perumahan penjawat awam dengan peruntukan hampir RM2.2 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters termasuk bagi doktor, jururawat, anggota tentera, polis, guru, bomba dan pegawai penjara.
“Antara projek utama ialah pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, bernilai RM500 juta yang bakal memberi manfaat kepada hampir 800 anggota tentera.
“Selain itu, kerajaan turut akan memperoleh rumah bagi dijadikan kuarters kepada anggota ESSCOM di Lahad Datu, pegawai imigresen di Lipis dan Kuala Lumpur,” katanya.
Bagi membantu kakitangan kontrak memiliki rumah pertama, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menjamin pinjaman sehingga 120 peratus, melibatkan dana RM1 bilion, manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan RM500 juta untuk pinjaman rumah pertama penjawat awam kontrak termasuk guru Tabika dan Taska KEMAS.
Kerajaan turut melanjutkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda LPPSA sehingga 31 Disember 2026, dijangka memanfaatkan 48,000 penjawat awam muda bawah 30 tahun, selain menaikkan had maksimum pembiayaan kepada RM1 juta dan memudahkan pembiayaan kali kedua tanpa perlu melunaskan pinjaman pertama mulai suku keempat 2026.








