KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan yang dizahirkan terhadap pembangunan negeri itu menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang diumumkan untuk Pahang membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan bagi memastikan pembangunan seimbang dan inklusif di seluruh negara.
Beliau menegaskan bahawa perhatian yang diberikan kepada negeri itu bukan sahaja menyentuh aspek infrastruktur tetapi turut merangkumi pendidikan, keusahawanan dan kebajikan masyarakat luar bandar termasuk komuniti Orang Asli.
Antara projek khusus yang diumumkan ialah naik taraf Lebuh Raya Kuantan–Segamat di Rompin, pembinaan jambatan konkrit di Maran, Klinik Kesihatan lengkap dengan kuarters di Pos Lenjang serta pembinaan Sekolah Kebangsaan Desa Damai di Bentong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram di Kuantan.
Selain itu, program Non-Revenue Water (NRW) bagi menggantikan paip usang turut akan dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan bekalan air di negeri itu.
Wan Rosdy turut menekankan bahawa kerajaan negeri akan memastikan setiap projek dan peruntukan dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan berkesan agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang amat menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi ini akan memperkukuh jaringan ekonomi luar bandar dan memperbaiki kemudahan asas rakyat sejajar dengan matlamat Belanjawan 2026 untuk menutup jurang pembangunan antara wilayah.
Beliau menegaskan komitmen Pahang untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan semua projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat negeri itu.