Belanjawan Rakyat 2026 Terus Perkukuh Daya Tahan Sosioekonomi Negara – Amirudin

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Belanjawan Persekutuan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara sambil memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Menurut Amirudin, belanjawan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI itu memperlihatkan keseimbangan antara kebertanggungjawaban fiskal dan tanggungjawab sosial.

“Peruntukan meningkat kepada RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun ini menggambarkan keseriusan kerajaan dalam merangsang ekonomi secara aktif, sambil memastikan ketirisan dibendung dan perbelanjaan dilaksana dengan cekap,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut mengalu-alukan pengiktirafan terhadap Selangor Aero Park bersama MAHB yang diposisikan sebagai pusat serantau penyelenggaraan pesawat (MRO), logistik dan kargo.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan aspirasi negeri untuk memperkukuh sektor berteknologi tinggi serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran.

Selain itu, peningkatan peruntukan pendidikan dan latihan teknikal (TVET) serta cadangan penggubalan Rang Undang-undang TVET turut disambut baik.

“Usaha ini amat penting bagi memastikan generasi muda memperoleh kemahiran yang relevan serta pekerjaan bergaji tinggi terutama dalam sektor strategik nasional,” jelasnya.

Tambahan RM2 bilion peruntukan pendidikan juga akan membolehkan pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor termasuk di Shah Alam, Puchong, Rawang dan Cyberjaya.

Amirudin turut memuji langkah kerajaan dalam memperkukuh kesihatan awam dan kebajikan keluarga termasuk peningkatan peranan klinik kesihatan, pelepasan cukai kepada wanita bekerja yang mempunyai anak kecil serta pengecualian cukai kepada ibu bapa yang mempunyai anak dengan autisme.

“Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam melindungi kesejahteraan rakyat, daripada kesihatan hingga peluang pekerjaan,” katanya.

Mengulas aspek infrastruktur dan pengangkutan awam, beliau berkata, penambahan 310 bas dan 300 van baharu akan membantu menyelesaikan cabaran ‘first mile’ dan ‘last mile’ di kawasan bandar padat.

Beliau juga memuji kesinambungan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 2 yang disifatkannya penting bagi menyesuaikan Selangor dengan impak perubahan iklim.

“Saya yakin Belanjawan Rakyat 2026 ini bukan sahaja menyantuni keperluan semasa rakyat, malah menjadi landasan kukuh bagi kestabilan dan kesejahteraan Malaysia pada tahun mendatang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat