KUANTAN: Azri Abdullah, seorang penerima bantuan Ziarah MADANI yang menghidap penyakit strok telah menerima kunjungan istimewa daripada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi di kediamannya di Taman Dato Rashid, Kuantan, Pahang.
Kunjungan tersebut merupakan satu manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang diuji dengan kesulitan hidup.
Azri, yang kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan ahli keluarga untuk menguruskan kehidupan seharian tetap menunjukkan ketabahan luar biasa meskipun tubuhnya lemah.
“Namun di sebalik kelemahan tubuhnya, terpancar kekuatan jiwa yang luar biasa.
“Wajahnya tetap tenang, menandakan redha menerima segala ketentuan Ilahi,” kata Ahmad Farhan menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan empati terhadap beban yang ditanggung oleh Azri dan keluarganya.
“Justeru, bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap beban yang ditanggung.
“Insya-Allah, pihak kami akan meneliti bentuk bantuan lanjut bagi meringankan kesulitan yang dihadapi beliau dan keluarga,” ujarnya.
Untuk info, Program Ziarah MADANI yang digerakkan oleh Pejabat Perdana Menteri bertujuan mendekati rakyat yang memerlukan khususnya mereka yang diuji dengan penyakit, kemiskinan atau kesulitan hidup.
Ia menjadi wadah untuk menyampaikan bantuan secara langsung dan memahami realiti kehidupan rakyat di akar umbi.
Ahmad Farhan turut mendoakan agar Azri dikurniakan kesembuhan dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan hidup.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan, ketenangan dan kekuatan buat Azri serta mempermudah setiap urusannya,” katanya menutup kunjungan dengan doa penuh harapan.