Belanjawan 2026: AMK Puji Langkah Berani Kerajaan Perkukuh Pendidikan

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat pujian daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia yang menyifatkannya sebagai belanjawan yang berpaksikan keadilan sosial dan masa depan pendidikan negara.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim menyambut baik peruntukan besar sebanyak RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan, iaitu satu peningkatan berbanding RM64.2 bilion tahun sebelumnya.

“Langkah kerajaan memperkenalkan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,700 sebulan melalui pembiayaan PTPTN merupakan satu dasar berani yang berpaksikan keadilan sosial.

“Ia membuka ruang mobiliti sosial kepada golongan berpendapatan rendah untuk menamatkan pengajian tanpa dibebani hutang, sekali gus memecahkan kitaran kemiskinan antara generasi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menyifatkan pelupusan hutang PTPTN bagi peminjam yang memperoleh ijazah kelas pertama sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan semangat gigih anak muda.

“Dalam masa yang sama, pelupusan hutang PTPTN bagi peminjam daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang memperoleh ijazah kelas pertama adalah pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan semangat gigih anak muda yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya.

AMK juga menyambut baik pemberian elaun RM150 sebulan kepada pelajar sekolah pendidikan khas (OKU) serta perluasan bantuan am persekolahan kepada pelajar miskin sehingga Tingkatan 5, satu langkah yang dilihat sebagai usaha menyantuni keperluan khas dan menangani cabaran sebenar keluarga B40.

Dalam aspek prasarana, Kamil berkata, Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2 bilion untuk menaik taraf lebih 520 sekolah usang khususnya di Sabah dan Sarawak serta pembinaan 38 sekolah baharu dan pemulihan dua sekolah vernakular di Pahang dan Perak.

“Langkah ini menzahirkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan prasarana pendidikan berada dalam keadaan kondusif serta mencerminkan semangat kepelbagaian dalam sistem pendidikan nasional,” ujarnya.

Beliau berkata, Belanjawan 2026 bukan sekadar angka dalam buku kira-kira tetapi satu manifestasi keadilan sosial yang diterjemahkan melalui dasar dan tindakan nyata.

Beliau percaya pelaburan besar dalam sektor pendidikan akan melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi sebagai asas penting dalam membina negara bangsa yang maju dan sejahtera.

“AMK menyeru semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti pendidikan untuk terus menyokong pelaksanaan dasar-dasar ini agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat di setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat