Belanjawan 2026: Wanita PKR Puji Keberanian Politik, Kecekapan Fiskal Demi Rakyat

PETALING JAYA: Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut penuh keyakinan oleh Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyifatkannya sebagai manifestasi keberanian politik dan kecekapan fiskal demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim berkata, bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI ini menekankan pendekatan berdisiplin, cekap dan berintegriti dalam mengurus hasil negara, sekali gus memperkukuh institusi dan menutup ruang ketirisan.

“Belanjawan MADANI Keempat bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ membuktikan komitmen konsisten Kerajaan MADANI untuk memulangkan hasil negara kepada rakyat melalui pendekatan berdisiplin, cekap dan berintegriti serta membina kecekapan fiskal menutup ruang ketirisan dan memperkukuh institusi negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau memuji langkah berani kerajaan yang menolak jalan mudah mengenakan cukai tambahan, sebaliknya memilih reformasi tatakelola seperti penyasaran subsidi dan pemotongan 20 peratus gaji anggota Jemaah Menteri demi memastikan hasil negara benar-benar sampai kepada rakyat.

“Kerajaan MADANI dengan beraninya menolak jalan mudah mengenakan cukai tambahan bagi membiayai perbelanjaan prasarana dan bantuan rakyat.

“Sebaliknya, langkah reformasi tatakelola seperti penyasaran subsidi dan pemotongan 20 peratus gaji semua anggota Jemaah Menteri diteruskan demi memastikan hasil negara dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hasil daripada pendekatan ini katanya, peruntukan bagi sektor utama seperti kesihatan, pendidikan, kebajikan, mobiliti dan TVET dapat dipertingkatkan.

Menurut beliau, golongan terpinggir seperti Orang Asli, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan bekas banduan turut menerima perhatian melalui pelbagai inisiatif baharu termasuk kemudahan Mahkamah Buruh dan Kanak-kanak Bergerak yang dilengkapi bilik saksi mesra kanak-kanak.

Belanjawan 2026 juga memperuntukkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak serta RM250 kepada pesara kerajaan dan veteran berpencen mahupun tidak berpencen sebagai penghargaan atas khidmat mereka.

“Wanita PKR menyokong penuh keutamaan agenda pemberdayaan wanita dalam Belanjawan 2026.

“Langkah seperti pembiayaan bank berjumlah RM270 juta bagi menyokong usahawan PMKS wanita, Peluang Kedua kepada 3,000 bekas banduan wanita, serta peluasan pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 untuk yuran taman asuhan dan pusat jagaan berdaftar membuktikan komitmen kerajaan terhadap keseimbangan sosial dan ekonomi gender,” katanya.

Ginie berkata, Belanjawan MADANI 2026 menyerlahkan tekad politik kerajaan untuk memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional, menaikkan siling ekonomi dan mengurangkan beban hidup rakyat melalui keberanian moral dalam membuat keputusan.

“Belanjawan MADANI 2026 menyerlahkan tekad politik Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional menaikkan siling ekonomi, memperkukuh tatakelola serta mengurangkan beban hidup rakyat melalui peningkatan kecekapan fiskal dan keberanian moral dalam membuat keputusan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat