Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak lagi terpedaya dengan janji damai rejim Israel yang disifatkannya sebagai hipokrit dan penuh penipuan.
Kecaman itu hadir susulan tindakan Israel yang didakwa melancarkan semula serangan udara ke atas Gaza, hanya beberapa hari selepas pengumuman gencatan senjata diumumkan kepada dunia.
“Alhamdulillah, dunia menyambut berita perjanjian damai yang kononnya menamatkan perang di Gaza.
“Namun belum pun sempat rakyat Palestin menarik nafas lega, Israel kembali melancarkan serangan udara menyebabkan korban jiwa dan kemusnahan baharu di bumi Gaza,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mahfuz berkata, rejim Zionis tidak pernah jujur dalam sebarang komitmen perdamaian, malah terus menjadikan rakyat Palestin sebagai mangsa kekejaman yang berpanjangan.
“Israel tidak pernah jujur dengan sebarang perjanjian.
“Setiap kali rakyat Palestin diberi harapan keamanan, ia segera dikhianati dengan peluru dan bom,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan gencatan senjata tanpa pemantauan antarabangsa sebagai ‘kertas kosong’ yang mudah dimanipulasi oleh rejim penjajah.
“Palestin tak perlukan janji kosong mereka perlukan perlindungan sebenar daripada tentera pengaman antarabangsa,” tegas beliau.
Mahfuz mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera menubuhkan pasukan pengaman antarabangsa dengan mandat jelas untuk melindungi rakyat Palestin daripada keganasan berterusan.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak lagi bersikap berat sebelah yang membiarkan Israel kebal daripada undang-undang.
“Siasatan bebas antarabangsa perlu dimulakan segera dan mereka yang memberi arahan serangan mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau turut menyeru negara-negara Islam dan rantau ‘Global South’ termasuk Malaysia agar terus memimpin usaha diplomatik dan kemanusiaan demi menegakkan keadilan sejagat.
“Kita tidak boleh sekadar berdoa dan menunggu. Kita mesti mendesak tindakan.
“Damai atas kertas, bom di langit Gaza, inilah damai hipokrasi penjajah Israel yang dunia biarkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian kerajaan Malaysia yang konsisten dalam mengecam kekejaman Israel serta menyokong resolusi baharu di PBB bagi pelaksanaan zon perlindungan antarabangsa di Gaza.
“Dunia mesti bangkit mempertahankan keadilan, bukan sekadar menonton kemanusiaan dihancurkan kali demi kali,” katanya lagi.








