PM Sampaikan Sumbangan Kasih MADANI Deepavali 2025 Di Ipoh

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Sumbangan Kasih MADANI sempena sambutan Deepavali 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Poi Lam, Ipoh.

Kehadiran beliau bersama warga sekolah dan ibu bapa menyerlahkan semangat perpaduan yang menjadi teras Malaysia MADANI.

Majlis tersebut bukan sekadar acara sumbangan tetapi medan untuk menyemai nilai kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Perdana Menteri berkata, kemajuan teknologi dan kecanggihan dunia hari ini menuntut kita untuk lebih menghargai nilai perpaduan.

“Dalam ucapan saya, saya tekankan bahawa semakin dunia melangkah ke arah kemajuan dan kecanggihan, semakin penting untuk kita mengekalkan nilai perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepelbagaian masyarakat di Malaysia bukanlah kelemahan, sebaliknya kekuatan yang harus diraikan sebagai asas kepada keharmonian negara.

“Kepelbagaian masyarakat di Malaysia bukanlah kelemahan yang perlu dipersoalkan, sebaliknya kekuatan yang harus diraikan, kerana inilah asas kepada perpaduan dan keharmonian negara,” ujar beliau.

Anwar turut menyentuh tentang realiti kehidupan pelajar di sekolah tersebut yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya, namun tetap belajar dan membesar bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia.

“Saya turut mengingatkan bahawa meskipun pelajar di sekolah ini datang daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, mereka tetap belajar dan membesar bersama di bawah satu bumbung, sebagai keluarga besar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara berbilang kaum dan anak-anak dari pelbagai latar belakang mampu hidup bersama sebagai satu pasukan yang bersatu hati.

“Malaysia ini negara berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya.

“Anak-anak kita sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asli, mampu bergaul sebagai satu pasukan anak-anak Malaysia yang bersatu hati,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar semangat saling menghormati dan memuliakan kepelbagaian budaya terus dipupuk sebagai nadi kekuatan bangsa dan negara.

“Sayugia, kita semua harus terus memupuk semangat saling menghormati serta memuliakan kepelbagaian budaya yang menjadi nadi kekuatan bangsa dan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat