PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa situasi semasa penularan influenza di negara ini masih terkawal, meskipun berlaku peningkatan ketara kes yang turut melibatkan institusi pendidikan seperti prasekolah, sekolah dan institut pengajian tinggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau akan menjawab secara rasmi soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pulai dalam Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis berhubung tahap kawalan semasa dan langkah perlindungan yang sedang dan akan diambil oleh KKM.
“Insya-Allah, saya akan menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Pulai dalam Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat esok (Khamis) berkaitan situasi semasa influenza di Malaysia, tahap kawalan yang diambil oleh KKM serta langkah yang sedang dan akan diambil bagi melindungi kesihatan rakyat khususnya pelajar,” katanya.
Menurut data terkini KKM, sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B telah dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-40 tahun 2025, berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya.
Majoriti kluster itu melibatkan institusi pendidikan dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 43 kluster, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5).
Walaupun kadar Influenza-Like Illness (ILI) meningkat, KKM berkata, peningkatan itu masih dalam jangkaan musim influenza dan tidak menunjukkan tanda-tanda luar biasa.
Tambahan pula katanya, kadar kemasukan ke hospital bagi kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) menunjukkan sedikit penurunan dan tiada mutasi baharu virus dikesan setakat ini.
“Walaupun kes meningkat, situasi adalah masih terkawal dan pemantauan berterusan sedang dijalankan melalui survelan ILI & SARI KKM di seluruh negara oleh Crisis, Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,” katanya.
Dr Dzulkefly turut berkata, fokus utama KKM dan Kerajaan MADANI adalah perlindungan masyarakat, keselamatan sekolah dan langkah pencegahan yang berkesan.
“Butiran lanjut akan saya jelaskan berdasarkan fakta terkini.
“Fokus utama KKM dan Kerajaan MADANI pastinya adalah perlindungan masyarakat, keselamatan sekolah dan langkah pencegahan,” ujarnya.







