PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, mendakwa PAS enggan menamakan calon Perdana Menteri kerana sedang bergelut dengan pertelingkahan dalaman bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Mahfuz, Pas kini berada dalam dilema apabila Bersatu telah pun menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri, sedangkan Pas masih mahu menonjolkan diri sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan tersebut.
“Daripada mengaku mereka tak sepakat, lebih mudah cipta alasan konon ada ‘risiko calon dijebak dengan jongkong emas atau dadah’,” katanya.
Beliau menyifatkan alasan yang diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa calon tidak diumumkan atas faktor keselamatan, sebagai helah untuk menutup perpecahan dalaman yang semakin ketara.
“Lucunya, mereka yang berkhutbah tentang kejujuran pun kini pandai berdrama seperti filem aksi.
“Pas bukan takut calon mereka diserang, Pas takut rahsia pertelingkahan mereka dengan Bersatu terbongkar,” tambahnya.
Mahfuz turut mengimbas kenyataan Pas sebelum ini yang mendakwa mempunyai “calon Perdana Menteri berlori-lori”, namun sehingga kini tiada seorang pun yang diumumkan secara rasmi.
“Kalau betul berlori-lori, hilang seorang pun tak apa kan masih ada lori kedua, ketiga, keempat?” soal beliau.
Beliau juga mempersoalkan mengapa Pas tidak menamakan calon daripada barisan kepimpinan Islam mereka sendiri, memandangkan parti itu mempunyai empat Menteri Besar di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Maka sekiranya, parti itu yakin dengan kepimpinan dalam sendiri maka laksanakanlah pemilihan calon Perdana Menteri dengan segera,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa Pas pernah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri suatu ketika dahulu tanpa sebarang isu keselamatan.
“Dulu Pas pernah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri tak pula masa itu ada ancaman keselamatan,”
“Jadi jelas, bukan calon mereka yang tak selamat tetapi politik mereka sendiri yang sedang tenat.
“Pas kini dilihat umpama pemandu lori yang hilang arah di mana ada ‘berlori-lori calon’, tapi rupa-rupanya semua lori rosak tepi jalan,” tambahnya.








