Kerjasama Tenaga ASEAN, LTMS–PIP Jadi Bukti Integrasi Serantau

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu integrasi tenaga serantau menerusi pelbagai inisiatif strategik di bawah kerangka ASEAN termasuk kejayaan sambungan Lao–Thailand–Malaysia–Singapura Power Integration Project (LTMS–PIP) yang kini menjadi lambang kemajuan bersama negara-negara anggota.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejayaan LTMS–PIP membuktikan bahawa perkongsian tenaga rentas sempadan bukan lagi sekadar wacana tetapi telah menjadi kenyataan yang menggerakkan transformasi tenaga di rantau ini.

“Perkongsian tenaga serantau bukan lagi sekadar idea tetapi realiti yang menggerakkan kemajuan bersama,” katanya semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Menurut Fadillah, usaha berterusan negara anggota ASEAN sejak beberapa dekad lalu telah membuahkan hasil yang signifikan termasuk peningkatan kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak lebih 25 peratus sejak tahun 2005.

“Kejayaan ini hasil komitmen berterusan selama empat dekad dalam memastikan tenaga yang lestari dan mampu milik,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memacu pelaburan dan inovasi dalam sektor tenaga, agar seluruh rantau dapat menikmati kemakmuran secara inklusif dan mampan.

“Masa depan tenaga ASEAN akan lebih cerah jika kita bergerak ke arah matlamat bersama iaitu kebersamaan dalam kemajuan,” katanya.

Untuk info, LTMS–PIP merupakan projek perintis yang membolehkan eksport tenaga elektrik dari Laos ke Singapura melalui grid tenaga Thailand dan Malaysia, sekali gus membuka jalan kepada ASEAN Power Grid yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Projek itu juga menjadi contoh bagaimana kerjasama teknikal dan diplomatik boleh menghasilkan impak besar terhadap keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi serantau.

Mesyuarat AMEM ke-43 turut membincangkan pelan hala tuju tenaga ASEAN pasca 2025 termasuk peralihan tenaga bersih, pembangunan teknologi hijau dan pembiayaan mampan untuk projek tenaga boleh diperbaharui.

Anda Mungkin Berminat