Oleh Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Kerajaan mencadangkan untuk menaikkan had umur minimum pengguna media sosial daripada 13 tahun kepada 16 tahun bagi melindungi golongan remaja daripada risiko keselamatan digital dan kandungan tidak sesuai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat dan akan dilaksanakan selaras dengan amalan di beberapa negara seperti Australia dan Indonesia.
“Cara had umur ini akan dikuatkuasakan melalui pendaftaran menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID,” katanya pada sidang media mingguan.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat serta platform media sosial utama di Singapura minggu depan bagi memperincikan pelaksanaan cadangan tersebut.
Langkah itu katanya, penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna muda dalam ruang digital terus terjamin di samping membina budaya penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menjalankan kajian menyeluruh berhubung isu yang melibatkan pelajar sekolah termasuk pengaruh media sosial.
Cadangan menaikkan had umur ini hadir susulan kebimbangan awam terhadap peningkatan kes buli dan ketagihan media sosial dalam kalangan remaja. Langkah sama sebelum ini telah dilaksanakan oleh beberapa negara yang turut mengaitkan usia pengguna dengan tahap kematangan dan keselamatan digital.
Baca juga:








