PETALING JAYA: Suasana penuh warna dan semangat muhibah menyelubungi majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Menteri Digital, Gobind Singh Deo, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut hadir memeriahkan sambutan yang berlangsung di ibu negara pada Isnin.
Turut menyertai majlis itu ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Kehadiran barisan pimpinan tertinggi negara menyerlahkan semangat perpaduan dan nilai kebersamaan yang menjadi teras Malaysia MADANI.
Anwar dan para tetamu beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah tradisional masyarakat India, dalam suasana harmoni yang menandakan kemenangan cahaya ke atas kegelapan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Gobind berkata, perayaan seperti Deepavali bukan sekadar tradisi tetapi lambang kekuatan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Perpaduan ialah aset paling berharga bagi negara ini.
“Semangat muhibah dan kasih sayang antara rakyat harus terus dipupuk demi keamanan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Anwar turut menzahirkan harapan agar semangat Deepavali menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat untuk memperkukuh keharmonian dan kemajuan negara.
Majlis berkenaan turut menyerlahkan falsafah Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan, toleransi dan saling menghormati sebagai kunci kesejahteraan nasional.
Ia seiring dengan aspirasi ‘Rancakkan MADANI’ untuk membina Malaysia yang inklusif, progresif dan harmoni.








