KOTA KINABALU: Prosiding hari ke-25 Inkues kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner Papar pada Selasa membuka satu lagi lembaran penting apabila dua saksi kanak-kanak tampil memberikan gambaran tentang suasana di asrama tempat kejadian berlaku.
Saksi pertama, seorang pelajar senior, menyifatkan Zara sebagai pelajar ceria, sopan dan ringan tulang.
Namun, beliau mengakui arwah kurang disenangi oleh segelintir pelajar kerana pernah dituduh mencuri yang merupakan satu tuduhan yang menurutnya menjejaskan hubungan sosial Zara di asrama.
Lebih membimbangkan, saksi turut mendedahkan kewujudan budaya tekanan emosi dalam kalangan pelajar, termasuk amalan yang dikenali sebagai ‘Mesyuarat Aras’ (MA). MA dianggap sebagai bentuk tekanan emosi.
Katanya, beliau sendiri pernah mengalami MA dan masih terkesan dengan pengalaman itu hingga kini.
Beliau turut menyatakan bahawa pelajar senior sering menggunakan kata-kata kesat terhadap junior termasuk menyindir pelajar yang menjadi ahli Badar iaitu satu kumpulan pelajar yang dikenali kerana komitmen terhadap disiplin dan nilai agama.
“Kalau marah, mereka akan maki guna perkataan kesat… itu biasa saya dengar,” katanya, sambil menambah bahawa warden jarang membuat pemeriksaan asrama sebelum insiden kematian Zara berlaku.
Saksi kedua, rakan sebilik kepada Zara, mengesahkan bahawa arwah seorang pelajar berdisiplin dan bercita-cita menjadi ahli Badar.
Pada malam kejadian 15 Julai lalu, saksi melihat Zara duduk di hadapan almari sekitar pukul 10 malam sebelum masuk tidur.
Beliau berkata, Zara tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan atau konflik dengan pelajar lain.
Saksi itu turut memaklumkan bahawa beliau pernah membaca diari milik Zara yang mengandungi luahan perasaan terhadap seorang rakan yang juga satu petunjuk kepada sisi peribadi arwah yang mungkin tidak diketahui ramai.
Prosiding turut dimaklumkan bahawa pakar pemeriksa tulisan, Dr Linthini Gannetion, telah menyelesaikan sesi kedua pemeriksaan tulisan dan dokumen pada 17 Oktober lalu.
Inkues dijadual bersambung semula pada 22 Oktober 2025 (Rabu).
Pasukan guaman keluarga Allahyarhamah mengingatkan orang awam serta media agar tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh dianggap subjudis sepanjang prosiding masih berjalan demi menjaga integriti proses kehakiman dan menghormati sensitiviti keluarga mangsa.








