Ulasan | Fajar Baharu ASEAN: Menyulam Kuasa Diplomasi, Kekal Kestabilan Serantau

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | KETIKA dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan pergolakan ekonomi, ASEAN sekali lagi berada di persimpangan sejarahnya.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tampil bukan sekadar memegang tampuk giliran tetapi membawa sinar fajar baharu untuk rantau ini.

Melalui pendekatan kuasa diplomasi lembut berteraskan prinsip kemanusiaan, keadilan dan nilai MADANI, Malaysia tentunya berhasrat memastikan ASEAN terus menjadi zon aman, stabil dan makmur, di tengah-tengah gelombang dunia yang tidak menentu.

Dalam karya klasik José Rizal, Noli Me Tangere, beliau menulis:
“Tiada penindas jika tiada yang rela diperhamba.” Mendasari petikan ini menggambarkan semangat kepimpinan Malaysia hari ini, menolak ketundukan terhadap kuasa besar, sebaliknya memperkukuh kebebasan dan maruah serantau melalui solidariti ASEAN yang berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.

Berundur melihat kembali sejarah ASEAN dalam pembentukannya, Malaysia yang diterajui Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Malaysia pada tahun 1967, ialah antara lima pengasas ASEAN yang menandatangani Deklarasi Bangkok bersama Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Tun Razak berpegang pada keyakinan bahawa kestabilan Asia Tenggara tidak boleh dijamin oleh kuasa luar tetapi mesti dibina oleh negara serantau sendiri melalui diplomasi, persefahaman dan konsensus.

Tentunya falsafah ini kini diteruskan oleh Kerajaan MADANI, kepimpinan yang menolak polarisasi geopolitik dan berpegang kepada prinsip neutraliti aktif, di mana Malaysia bersuara berasaskan prinsip, bukan tekanan.

Inspirasi ini bertetapan dengan apa yang diungkapkan oleh Jose Risal bahawa “Pedang bukan jawapan kepada kejahatan; pendidikan dan akal budi mesti mengatasinya.” Pendekatan ini mencerminkan kesinambungan antara legasi Tun Razak dan gagasan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa diplomasi dan akal budi jauh lebih berkesan daripada kekuatan senjata atau paksaan politik.

Di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia memperkenalkan pendekatan “Diplomasi MADANI” iaitu satu dasar luar berteraskan nilai ihsan, hormat, keadilan dan tanggungjawab sejagat.

Dalam konteks ASEAN, dasar ini diterjemahkan melalui:
● Pendekatan kemanusiaan terhadap krisis Myanmar, termasuk memperkukuh peranan ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA Centre).

● Pendekatan moral dan adil dalam isu Palestin, menjadikan ASEAN lebih lantang memperjuangkan keadilan global.

● Komitmen kepada keamanan Laut China Selatan melalui dialog, bukan konfrontasi.

Anwar sering menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi pengikut kuasa besar, sebaliknya peneraju suara yang berpaksikan nurani, satu pendirian yang mengangkat maruah ASEAN di mata dunia.

Kerajaan MADANI melihat ASEAN bukan sekadar blok ekonomi tetapi komuniti kemanusiaan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Prinsip MADANI iaitu ‘Sustainability, Care and Compassion, Respect, Innovation, Prosperity and Trust’ kini menjadi nilai panduan bagi Malaysia dalam menakhodai agenda serantau.

Daya Tahan Rantau

Kepengerusian Malaysia tiba ketika dunia sedang mencari rantai nilai ekonomi baharu pasca pandemik dan konflik global.

Kerajaan MADANI memanfaatkan peluang ini melalui beberapa agenda utama antaranya melonjakkan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) untuk memperkukuh integrasi ekonomi digital.

Turut diberi perhatian khusus ialah memajukan ekonomi hijau dan tenaga boleh baharu selaras dengan agenda transformasi ekonomi negara dan terpenting menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) serantau sebagai tunjang inovasi dan penciptaan pekerjaan.

Seperti pesan Rizal “Barang siapa tidak tahu menoleh ke asalnya, tidak akan sampai ke destinasinya.”

Kepimpinan Malaysia MADANI menoleh kepada akar perjuangan Tun Razak membina ASEAN atas dasar kepercayaan dan kebersamaan, bukan persaingan.

Tun Razak percaya pembangunan tidak boleh bersifat elitis, manakala Anwar menegaskan bahawa kemajuan mesti berteraskan kasih sayang dan ihsan kepada manusia.

Perpaduan inilah yang menjadikan ASEAN lebih daripada sekadar gabungan politik tetapi komuniti yang hidup dengan nilai dan kemanusiaan.

Berlandaskan kepada kepercayaan yang dituntaskan Tun Razak ini, Malaysia turut memperkukuh dimensi sosial ASEAN melalui beberapa inisiatif.

Antaranya memperluas mobiliti pelajar dan tenaga kerja ASEAN di bawah kerangka TVET dan pendidikan MADANI.

Selain, mengukuhkan inisiatif kebajikan rentas sempadan termasuk kesihatan, pelarian dan pendidikan. Dan terpenting ialah menyemai identiti ASEAN sebagai keluarga, bukan sekadar jiran. Ironinya cabaran tetap mendatang isu-isu seperti pertikaian maritim, jurang ekonomi dan tekanan geopolitik.

Namun, dengan pendekatan MADANI yang menekankan nilai sejagat dan diplomasi berasaskan prinsip, Malaysia mampu memimpin ASEAN ke arah kestabilan baharu yang lebih manusiawi.

Seperti ungkapan watak Elias dalam karya Rizal: “Aku mati sebelum sempat melihat cahaya fajar menyinari negaraku… Kamu yang akan menyaksikannya, sambutlah cahaya itu dan jangan lupakan mereka yang gugur dalam gelap malam.” Petikan ini seolah menggambarkan perjuangan panjang Malaysia dari era Tun Razak ke era MADANI dalam menyalakan fajar baharu ASEAN yang berasaskan maruah, kebebasan dan kemanusiaan.

Dari semangat Bangkok 1967 hingga aspirasi MADANI 2025, Malaysia kekal menjadi nadi moral ASEAN.

Kepimpinannya mencerminkan kesinambungan antara masa silam dan masa depan atau lebih tepat antara realpolitik dan nurani kemanusiaan.

Dalam dunia yang semakin kabur antara kuasa dan nilai, Malaysia memilih jalan tengah yang sukar tetapi bermaruah menjadi suara sederhana yang membawa makna besar.

Itulah intipati Fajar Baharu ASEAN, sinar yang tidak hanya menerangi rantau ini tetapi mengingatkan dunia bahawa keamanan sejati bermula daripada manusia dan nilai yang dijunjungnya dan MADANI ada resipinya.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat