PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos dan kadar bayaran haji bagi jemaah Muassasah untuk musim haji 1447H/2026M, meskipun berdepan peningkatan kos operasi di Tanah Suci.
Keputusan itu memberi kelegaan kepada puluhan ribu bakal jemaah yang telah lama menanti giliran menunaikan rukun Islam kelima.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kos keseluruhan ibadah haji kekal pada kadar RM33,300 seorang untuk tahun ketiga berturut-turut tanpa kenaikan.
Beliau berkata, TH turut mengekalkan bayaran haji serta meneruskan bantuan kewangan haji bagi meringankan beban kewangan jemaah yang layak.
“TH berkeyakinan dapat mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik seperti yang diiktiraf melalui Anugerah Diamond Labaytum musim lalu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan serta pengekalan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah kumpulan B40.
Pada masa yang sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Mustakim Mohamad berkata, langkah strategik seperti tempahan awal penginapan dan kontrak penerbangan lima tahun telah membantu TH mengekang kesan inflasi, sekali gus memastikan keselesaan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Sejak Bantuan Kewangan Haji diperkenalkan pada 2001, TH telah menanggung lebih RM2.72 bilion.
“Bantuan bersasar yang diperkenalkan sejak 2022 pula selaras dengan konsep istito’ah dan dasar kerajaan untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.
Untuk musim haji 2026, jemaah B40 hanya perlu membayar 45 peratus daripada kos penuh, iaitu RM18,300 selepas mengambil kira bantuan TH dan kerajaan.
Kumpulan M40 pula menerima bantuan sebanyak RM9,800, manakala jemaah T20 perlu menanggung keseluruhan kos RM33,300.
Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober ini.
TH turut menasihatkan semua yang terpilih agar segera mengemaskini maklumat peribadi, mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dan menghadiri kursus asas haji yang telah bermula di lebih 200 masjid seluruh negara.








