Malaysia diiktiraf dunia melalui penganjuran Global Skills Forum 2025

PETALING JAYA: Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah pertama di luar Geneva bagi Global Skills Forum 2025, anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penganjuran forum itu membuktikan pengiktirafan dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memimpin agenda pembangunan kemahiran di peringkat serantau.

“Lebih bermakna apabila Ketua Pengarah ILO, H.E. Mr. Gilbert F. Houngbo, turut hadir bersama delegasi dari hampir 50 buah negara. Ini tanda bahawa dunia melihat Malaysia sebagai peneraju dalam memperkasa tenaga kerja berkemahiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menegaskan, kemahiran kini menjadi mata wang baharu dalam ekonomi global.

“Dalam dunia yang sedang berubah pantas, ‘skills are the new currency’. Kemahiran menentukan nilai, daya tahan dan masa depan bangsa,” jelasnya.

Di bawah ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, Malaysia memberi tumpuan kepada penyelarasan antara pendidikan dan industri, pemerkasaan belia serta pengiktirafan kemahiran rentas sempadan. Langkah itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan TVET sebagai teras pembangunan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia komited memperkukuh ekosistem TVET yang berasaskan ilmu, nilai dan etika bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus menjadi hab kemahiran serantau dengan memperkukuh kerjasama antarabangsa, memperluas peluang latihan dan memastikan tiada golongan tertinggal,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat