Setiausaha Politik PM Sumbang Meja Dan Kerusi Baharu, Suntik Semangat Calon SPM SMK Pelabuhan

KUANTAN: Seramai 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan bakal menduduki peperiksaan dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif, hasil sumbangan 200 set meja dan kerusi baharu.

Sumbangan tersebut digerakkan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi, dengan sokongan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengatasi kekurangan kemudahan perabot di sekolah berkenaan.

Farhan berkata, keutamaan diberikan kepada pelajar agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dalam persekitaran yang menyokong kecemerlangan akademik.

“Kita mahu anak-anak kita fokus pada satu perkara iaitu menjadi pelajar cemerlang.

“Kejayaan tidak datang dengan nasib tetapi dengan usaha, doa dan restu ibu bapa serta guru,” katanya.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kemudahan asas yang mencukupi untuk persediaan peperiksaan.

“Ini sebahagian daripada usaha berterusan kita di bawah agenda Malaysia MADANI untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik di sekolah-sekolah awam,” katanya.

Ahmad Farhan turut menyeru calon SPM 2025 agar memanfaatkan peluang ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan terus bertawakal kepada Allah SWT, sebagai langkah awal menuju kejayaan.

Anda Mungkin Berminat