KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan komitmen untuk terus mengutamakan graduan tempatan dalam pasaran pekerjaan selaras dengan peningkatan kadar kebolehpasaran yang semakin memberangsangkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kementerian tidak akan membenarkan pelajar antarabangsa mengisi jawatan yang boleh dilakukan oleh rakyat tempatan secara sewenang-wenangnya.
“Dasar KPT jelas, tenaga kerja tempatan mesti diutamakan seiring peningkatan kadar kebolehpasaran graduan dalam negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Mustapha, kadar kebolehpasaran graduan menunjukkan peningkatan positif, iaitu 90.9 peratus pada tahun 2023 dan meningkat kepada 92.5 peratus tahun ini.
“Selebihnya terdiri daripada mereka yang menjadi usahawan atau menyambung pengajian,” ujarnya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS–Batang Lupar) yang membangkitkan kebimbangan sama ada kehadiran pelajar antarabangsa menjejaskan peluang pekerjaan graduan tempatan.
Jelas Mustapha, angka tersebut membuktikan graduan Malaysia semakin diterima dalam pasaran kerja, sekali gus menepis dakwaan bahawa pelajar antarabangsa menutup ruang pekerjaan untuk warga tempatan.
“Dasar pengambilan pelajar antarabangsa untuk bekerja selepas tamat pengajian bukan ditentukan KPT tetapi di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan pas pengajian selepas tamat belajar tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala penilaian kelayakan sektor pekerjaan dibuat oleh agensi seperti MIDA, MDEC dan TalentCorp melalui Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat.








