KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini secara rasmi membuka Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan, menandakan kemuncak kepada setahun kepengerusian negara dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan pemimpin ASEAN dan tetamu pengerusi termasuk Brazil, Afrika Selatan, Kanada, Kesatuan Eropah serta Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, yang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Januari lalu.
“Dalam ucapan dasar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk membina ASEAN yang lebih inklusif, bersatu dan mampan.
“Antara detik bersejarah hari ini ialah penandatanganan Deklarasi Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota rasmi ASEAN ke-11, pencapaian besar di bawah kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi tahun ini.
“Sidang kemuncak turut memfokuskan kepada pengukuhan integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi, perpaduan ASEAN dalam sistem antarabangsa berasaskan undang-undang, serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berhubung krisis Myanmar,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Ahad.

Menurutnya, Anwar juga dijadualkan menghadiri beberapa mesyuarat dua hala bersama Kesatuan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta mempengerusikan sidang seperti ASEAN–Jepun, ASEAN–India, AZEC ke-3 dan ASEAN–Amerika Syarikat.
“Kemuncak hari ini ialah majlis menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja, yang disaksikan oleh Anwar dan Trump, menandakan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian serantau secara aman.
“Sidang kali ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemimpin berprinsip dan berwawasan, membawa suara ASEAN yang berpaksikan rakyat serta menegaskan peranan rantau ini sebagai tunjang kestabilan dan keamanan Asia Tenggara,” ujarnya lagi.
Baca juga:








