KUALA LUMPUR: Malaysia dan Timor-Leste melangkah setapak ke hadapan dalam memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MOU) penting yang menumpukan kepada kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan media.
Majlis menandatangani MOU tersebut disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste, Miguel Marques Gonçalves Manetelu, serta Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial, Expedito Loro Dias Ximenes.
Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste, dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, perjanjian itu mencerminkan persahabatan erat dan kepercayaan bersama antara kedua-dua negara, yang telah terjalin sejak Malaysia menjadi antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Timor-Leste pada tahun 2002.
“Kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan meningkatkan hubungan antara rakyat.
“Malaysia dan Timor-Leste juga berhasrat untuk terus bekerjasama ke arah pembentukan rantau Asia Tenggara yang lebih saling berhubung, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
MOU pertama mengenai kerjasama telekomunikasi ditandatangani antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Kementerian Pengangkutan serta Komunikasi Timor-Leste, bagi memperkukuh infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan antara negara, serta memupuk perkongsian kepakaran teknikal.
MOU kedua pula melibatkan kerjasama dalam bidang pembangunan maklumat dan media, yang bertujuan menggalakkan pertukaran berita, pembangunan kapasiti profesional media, dan perkongsian maklumat antara kedua-dua negara.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa rakyat Malaysia di Timor-Leste kini boleh menikmati perkhidmatan perayauan data tanpa gangguan pada kadar mampu milik, selepas syarikat telekomunikasi utama negara, CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile berjaya mengaktifkan perkhidmatan itu bermula 17 Oktober, manakala YTL Communications akan menyusul pada 24 Oktober.
Langkah itu melengkapkan usaha Malaysia dalam memperkukuh kesalinghubungan digital serantau serta memudahkan komunikasi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Baca juga:








