KUALA LUMPUR: Komitmen ASEAN terhadap peralihan tenaga rendah karbon mesti disertai dengan penghormatan terhadap keunikan dan keperluan setiap negara anggota, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Anwar menyeru agar pendekatan serantau dalam menangani perubahan iklim tidak bersifat seragam, sebaliknya mengambil kira realiti dan kapasiti berbeza setiap negara.
“Di Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, saya tegaskan keperluan ASEAN untuk meneruskan iltizam peralihan tenaga serantau dengan menghormati keunikan setiap negara dalam menuju masa depan rendah karbon,” katanya.
Beliau turut menggesa negara-negara anggota AZEC untuk memperhebat pelaburan dan pemindahan teknologi dalam usaha mempercepat pembangunan ASEAN Power Grid.
“Rakan-rakan AZEC perlu memperhebat pelaburan dan kepakaran bagi mempercepat pembangunan ASEAN Power Grid, pemacu utama kepada keselamatan tenaga, akses yang lebih adil dan kos yang mampu milik untuk semua,” katanya.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berkongsi langkah-langkah konkrit yang telah diambil Malaysia dalam memperkukuh agenda kelestarian termasuk penggubalan Akta Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Kebangsaan serta pelaksanaan cukai karbon yang dijadual bermula tahun hadapan.
Beliau berkata, teknologi rendah karbon seperti hidrogen, biofuel dan storan tenaga akan menjadi pemacu utama dalam usaha Malaysia menyumbang kepada masa depan Asia yang lebih hijau dan berdaya tahan.
“Menerusi teknologi rendah karbon seperti hidrogen, biofuel dan storan tenaga, Malaysia komited memacu Asia ke arah masa depan yang hijau, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
Mesyuarat AZEC yang menghimpunkan pemimpin rantau Asia ini menjadi platform penting dalam menyelaras dasar dan kerjasama ke arah mencapai matlamat sifar pelepasan karbon, selaras dengan komitmen global terhadap perubahan iklim.







