KUALA LUMPUR: Dalam suasana penuh mesra dan konstruktif, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae, sejurus selesai Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28 yang berlangsung pada Ahad.
Pertemuan tersebut menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara dengan fokus kepada bidang keselamatan maritim, daya tahan ekonomi, peralihan hijau serta urusan kemanusiaan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menzahirkan keyakinan terhadap masa depan kerjasama Malaysia–Jepun yang lebih progresif dan inklusif.
“Pertemuan ini memperkukuh tekad bersama untuk memantapkan kerjasama dua hala antaranya dalam bidang keselamatan maritim, daya tahan ekonomi, peralihan hijau serta urusan kemanusiaan yang semakin penting dalam lanskap serantau hari ini.
Saya percaya, dengan semangat saling menghormati dan keakraban yang sedia terjalin, Malaysia dan Jepun akan terus memperluas ufuk kerjasama baharu yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan, demi keamanan dan kemakmuran bersama rantau ini,” katanya.
Mesyuarat dua hala itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pemimpin dalam memperkukuh hubungan diplomatik yang telah lama terjalin, sambil membuka ruang kepada inisiatif baharu yang menyokong kestabilan dan pembangunan serantau.
Dengan Jepun sebagai antara rakan dagang utama Malaysia dan penyumbang penting dalam pelbagai bidang pembangunan, pertemuan itu dijangka memberi impak positif kepada usaha memperkukuh daya saing dan ketahanan rantau Asia Tenggara dalam menghadapi cabaran global.








