KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau yang inklusif dan berdaya tahan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22 yang berlangsung secara maya.
Sidang kemuncak tersebut turut menyaksikan kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang menyertai secara virtual.
Anwar mempengerusikan sidang berkenaan yang mempertemukan para pemimpin ASEAN dan India untuk memperkukuh hubungan strategik yang telah lama terjalin.
“Hubungan ASEAN-India sebagai berpaksi pada nilai persahabatan, keyakinan dan kepentingan bersama serta terus menjadi antara medan terbaik untuk kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Sidang kemuncak kali ini memberi tumpuan kepada usaha memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), yang dijangka membuka lembaran baharu dalam integrasi ekonomi serantau.
Selain itu katanya, para pemimpin turut membincangkan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-India 2026-2030 yang merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, keterjaminan makanan dan pembangunan teknologi.
Malaysia, menurut Anwar, amat menghargai keakraban yang terjalin dengan India khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pertukaran budaya.

Beliau berkata, hubungan erat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, malah menyumbang kepada kesejahteraan rantau secara keseluruhan.
“Malaysia turut berkeyakinan kerjasama erat ASEAN-India akan terus memacu kemajuan yang inklusif, berdaya tahan dan saling memanfaatkan.
“Dengan semangat persahabatan dan saling menghormati antara negara, kita mampu untuk mengangkat rantau ini ke tahap yang lebih seimbang dan mampan untuk semua,” ujar beliau.








