Menerima Timor-Leste: Ujian kepimpinan serantau atau perkukuh komuniti?

Oleh: Dr Aini Fatihah Roslam

ULASAN | Selepas bertahun-tahun menunggu, Timor-Leste akhirnya disahkan sebagai anggota ke-11 ASEAN.

Keputusan ini disambut positif sebagai langkah memperkukuh kerjasama serantau dan memperluas kehadiran geopolitik ASEAN di rantau Indo-Pasifik. Namun, persoalan yang timbul bukan sekadar mengenai keanggotaan baharu, tetapi bagaimana ASEAN mampu menampung jurang kapasiti yang wujud antara Timor-Leste dan anggota lama seperti Malaysia, Singapura atau Thailand.

Realitinya, Timor-Leste merupakan negara termuda dan antara yang paling kecil dari segi ekonomi serta kapasiti institusi dalam ASEAN. Sistem tadbir urusnya masih melalui fasa pengukuhan pasca konflik, kadar kemiskinan relatif tinggi, dan keupayaan birokrasi untuk mengikuti ratusan mesyuarat teknikal ASEAN setiap tahun masih terbatas.

Justeru, penyertaannya bukan sahaja simbolik, tetapi ia menguji keupayaan ASEAN sebagai organisasi serantau yang inklusif dan berdaya menampung perbezaan dalaman.

Namun, jika dilihat secara lebih mendalam, ASEAN sebenarnya mempunyai pengalaman panjang menangani jurang pembangunan sebegini. Kemasukan Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja pada akhir 1990-an juga berlaku dalam konteks perbezaan ekonomi dan institusi yang ketara. Oleh itu, penyesuaian terhadap Timor- Leste bukan sesuatu yang asing. Malah, ia mengukuhkan peranan ASEAN sebagai komuniti politik serantau yang bersifat menyeluruh, bukan eksklusif.

Salah satu mekanisme utama ialah pembangunan kapasiti melalui Initiative for ASEAN Integration (IAI). Program ini bertujuan membantu anggota yang kurang maju untuk meningkatkan keupayaan pentadbiran, pembangunan sumber manusia, serta pemetaan dasar awam agar selaras dengan piawaian serantau. Dalam konteks Timor-Leste, pembangunan kapasiti ini adalah keperluan asas sebelum negara itu dapat melibatkan diri secara efektif dalam proses penyelarasan dasar serantau.

Selain itu, ASEAN turut menggunakan pendekatan keanggotaan berfasa atau phased membership. Pendekatan ini memberi ruang pembelajaran secara praktikal dengan Timor-Leste hadir terlebih dahulu sebagai pemerhati dalam mesyuarat dan hanya akan diberikan hak membuat keputusan penuh selepas mencapai tahap kesiapsiagaan institusi tertentu. Model ini bukan meminggirkan, tetapi memberi ruang penyesuaian tanpa tekanan.

Yang lebih penting, ASEAN tidak beroperasi dalam vakum. Rakan Dialog seperti Jepun, Kesatuan Eropah dan Australia turut memainkan peranan besar melalui program bantuan teknikal, latihan diplomatik dan penyusunan semula institusi awam. Dengan kata lain, integrasi Timor-Leste bukanlah tanggungjawab ASEAN semata-mata, tetapi kolaborasi pelbagai pihak yang berkepentingan dalam kestabilan dan pembangunan Asia Tenggara.

Namun, kekuatan paling fundamental ASEAN terletak pada norma dan kaedah operasinya iaitu apa yang sering disebut sebagai ASEAN Way. Prinsip musyawarah, konsensus dan tidak campur tangan ini sering dianggap lembap dan tidak tegas. Tetapi dalam konteks integrasi anggota baharu, ia memberi kelebihan besar. Ia menjamin bahawa negara yang kecil tidak akan diketepikan oleh negara yang lebih berkuasa.

Dalam kata lain, Timor-Leste bukan sekadar masuk ke dalam ASEAN; ia disambut sebagai rakan setara dalam meja perbincangan.

Walaupun demikian, Timor-Leste juga perlu menunjukkan komitmen bersungguh-sungguh dalam memperkukuh institusi domestiknya. Ini termasuk reformasi tadbir urus, peningkatan kompetensi penjawat awam, dan keupayaan untuk menyampaikan komitmen serantau ke dalam dasar nasional.

Integrasi bukan hanya soal diterima masuk ke dalam organisasi, tetapi kemampuan untuk menjadi penyumbang aktif dalam pembentukan agenda serantau.

Oleh itu, persoalan bukan sama ada ASEAN mampu menampung Timor-Leste, tetapi bagaimana Timor-Leste dan ASEAN saling memperkukuh. Penerimaan ini harus dilihat sebagai peluang memperkukuh identiti ASEAN sebagai komuniti politik yang inklusif serta meningkatkan solidariti serantau dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa, termasuk isu Indo-Pasifik, keselamatan maritim dan persaingan kuasa besar.

Integrasi Timor-Leste bukan sekadar kemasukan ahli baharu. Ia adalah ujian terhadap kemampuan ASEAN untuk terus relevan, inklusif dan stabil dalam lanskap antarabangsa yang semakin kompleks. Jika diuruskan dengan strategi yang jelas dansokongan berterusan, penyertaan Timor-Leste mampu menjadi bukti bahawa ASEAN bukan sekadar satu “projek diplomatik”, tetapi satu komuniti serantau yang benar-benar sedang dibina.

***Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat