JSJN, Kementerian Komunikasi Jalin Kerjasama Bendung Ancaman Dadah Digital

PUTRAJAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi dalam usaha membendung ancaman pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang kini semakin berleluasa di ruang digital.

Langkah itu dimeterai melalui kunjungan hormat Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan ke atas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Isnin, yang menjadi medan penting untuk memperkemas sinergi antara JSJN, PDRM dan kementerian tersebut demi memperkukuh keselamatan digital negara.

Pertemuan itu menekankan keperluan mendesak untuk memastikan ruang siber kekal bebas daripada eksploitasi sindiket dadah yang semakin canggih menggunakan teknologi sebagai medium baharu.

Menurut kenyataan JSJN, Fahmi Fadzil amat dihargai atas komitmen dan sokongan padu beliau dalam memastikan keselamatan komunikasi negara terus terpelihara daripada ancaman jenayah siber berkaitan dadah.

“Kerjasama erat ini penting bagi melindungi rakyat terutama generasi muda, daripada bahaya dadah yang kini beralih ke platform digital.

“Persekitaran siber mesti kekal selamat daripada penyalahgunaan teknologi,” menurut kenyataan itu.

JSJN turut menegaskan komitmen untuk melaksanakan pendekatan risikan siber berteknologi tinggi serta memperluas jaringan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Interpol dalam usaha mengekang aktiviti pengedaran dadah atas talian.

Inisiatif itu selari dengan semangat ‘JSJN: Perangi Dadah, Lindungi Generasi’ yang menekankan penguatkuasaan digital bersepadu demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Mohd Zani Che Din, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, Mohd Zaki Ashar serta pegawai kanan JSJN Bukit Aman yang memperlihatkan iltizam bersama dalam memperkasa kerjasama rentas agensi bagi menangani ancaman dadah digital secara holistik.

Anda Mungkin Berminat