Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Perjanjian perdagangan terbaharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi lonjakan besar kepada ekonomi negara, apabila sebanyak 1,711 barangan eksport bernilai AS$5.2 bilion kira-kira 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia dikecualikan daripada tarif import AS.
Langkah itu bukan sahaja meningkatkan daya saing firma tempatan di pasaran antarabangsa, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang utama AS di rantau Asia Tenggara.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan kejayaan rundingan tersebut sebagai manifestasi keberkesanan diplomasi ekonomi dan usaha berterusan kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan negara.
“Secara keseluruhan, kadar tarif yang rendah membolehkan firma di Malaysia menembusi pasaran AS dengan lebih kompetitif,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sektor eksport khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“Usaha pembinaan kapasiti dalam kalangan usahawan perlu diperhebat melalui program latihan, akses pembiayaan serta geran bagi tujuan automasi dan digitalisasi,” jelasnya.
Dr Mohd Afzanizam turut menyeru agar agensi kerajaan seperti MIDA, SME Corp dan MDEC terus memperluas bantuan dan sokongan bagi memperkukuh ekosistem perniagaan negara agar mampu bersaing secara mampan di peringkat global.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump pada pagi Isnin sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun.
Pertemuan itu bertujuan meneliti semula hasil perbincangan dua hala yang melibatkan kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keamanan serantau.








