RCEP Platform Perkukuh Daya Saing Ekonomi Serantau – Anwar

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai tonggak penting dalam memperkukuh daya saing ekonomi Asia Pasifik khususnya ketika rantau ini berdepan cabaran global yang semakin kompleks.

Berucap pada pembukaan Sidang Kemuncak RCEP ke-5 di Kuala Lumpur pada Isnin, Anwar berkata, kerjasama erat antara negara anggota adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran serantau yang mampan.

“Pertemuan ini bukan sekadar simbolik tetapi peluang untuk kita mengukuhkan komitmen terhadap perdagangan terbuka dan pembangunan inklusif,” katanya.

Sidang kali ini membawa makna tersendiri kerana ia merupakan pertemuan pertama para pemimpin RCEP sejak perjanjian itu dimeterai pada tahun 2020 ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Pemulihan pesat dalam perdagangan dan pelaburan mencerminkan semangat RCEP yang menekankan ketahanan serta kemakmuran bersama,” katanya.

RCEP kini disertai oleh 15 negara termasuk 10 anggota ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand dan menjadikannya blok perdagangan terbesar dunia daripada segi keluasan pasaran dan populasi.

Anda Mungkin Berminat