Oleh: Nadhirah Akmam
HANTARAN Ummi Dikwa dan suaminya meraih perhatian ramai selepas perkongsian video mereka di TikTok mendedahkan bahawa mereka telah berusaha mendapatkan zuriat (try to conceive atau ttc) hampir 27 tahun.
Pasangan itu yang berkahwin sejak tahun 1998 tidak menyangka hantaran tersebut mencuri hati netizen sehingga dibanjiri ribuan komen penuh kasih dan doa.
Ramai pengguna TikTok menzahirkan rasa sebak dan kasih terhadap pasangan itu, malah ada yang memanggil mereka dengan panggilan mesra “mak” dan “abah”.
“Hai mama abah, anak menantu mama abah sihat je ni. Mama abah jangan pernah rasa gagal sebab tak ada siapa tahu rahsia Allah,” kata seorang pengguna, SarahDiens di ruangan komen.
“Mak abah, adik tengah fokus untuk SPM lagi seminggu je, doakan adik cemerlang tau, nanti adik datang melawat mak abah,” tulis lagi seorang lagi pengguna, Sufii.

Tidak kurang juga yang berkongsi berita gembira kepada pasangan itu seperti kejayaan dalam kerjaya.
“Umii! Abah! Edel dapat kerja sebagai Halal Executive kat Imperial Heritage Hotel!” kata seorang pengguna bernama Edell.
Pasangan itu mengakui terharu dengan sambutan luar biasa tersebut dan membalas komen netizen dengan penuh kasih sayang, memanggil mereka sebagai “anak-anak online Ummi Abah”.
Kisah Ummi Dikwa menjadi simbol kasih, ketabahan dan keikhlasan dalam menerima takdir, sekali gus menyentuh hati ramai yang melihat cinta sejati itu tidak pernah pudar meskipun tanpa kehadiran zuriat sendiri.
Baca juga:








