KPKM Laksana Pelan Transformasi Bantu Persatuan Nelayan Lemah

PARLIMEN | Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan Pelan Transformasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi memperkukuh peranan persatuan yang dikenal pasti kurang berkesan dalam menjaga kebajikan ahlinya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat berhubung langkah kementerian membendung isu PNK yang tidak aktif walaupun didaftarkan secara rasmi, pada Selasa.

Menurut Mohamad, pelan itu memberi tumpuan kepada penstrukturan semula aspek tadbir urus, aktiviti ekonomi serta penglibatan ahli supaya persatuan lebih berdaya saing dan mampan.

“Pelan Transformasi ini dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan pengurusan serta mengembalikan semangat koperasi dalam kalangan PNK yang lemah agar kembali aktif dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Setakat ini, katanya, terdapat 101 PNK di seluruh negara selain 14 Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan satu Persatuan Nelayan Kebangsaan dengan jumlah keahlian lebih 84,000 nelayan.

Bagi memastikan persatuan beroperasi secara telus, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksanakan pemantauan prestasi tahunan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menilai aspek tadbir urus, kebajikan ahli dan kecekapan pengurusan.

“Audit dalaman dan luaran turut dijalankan secara berkala bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti pengurusan kewangan di setiap peringkat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kementerian turut melaksanakan program peningkatan kapasiti dan latihan kepimpinan kepada Ahli Lembaga Pengarah serta pengurus PNK melalui kerjasama dengan Institut Pengurusan Peladang (IPP).

“Latihan ini penting bagi memastikan setiap pemimpin memahami tanggungjawab sosial terhadap ahli dan mampu melaksanakan tadbir urus yang berkesan,” katanya.

Kementerian juga memperkenalkan pelbagai program sokongan termasuk kemudahan pemasaran ikan, aktiviti akuakultur dan penubuhan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CCDC) bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan ahli.

Antara program lain ialah Program Usahawan Bimbingan (PUB), Geran Agropreneur Muda (GAM) dan Ladang Kontrak yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan nelayan.

“Ahli PNK turut digalakkan menyertai mesyuarat agung tahunan dan proses pemilihan jawatankuasa bagi meningkatkan akauntabiliti serta memastikan suara mereka terus didengari,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat