DOSM: Perdagangan domestik cecah RM257.5 bilion, lapan negeri catat peningkatan

PUTRAJAYA: Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2025 merekodkan nilai RM257.5 bilion dengan eksport berjumlah RM138.7 bilion dan import RM118.8 bilion, menurut laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri September 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata eksport meningkat RM15.1 bilion atau 12.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Lapan negeri mencatatkan pertumbuhan positif dengan nilai keseluruhan RM178.3 bilion.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Selasa, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 41.6 peratus, diikuti Johor 19.8 peratus, Selangor 15.1 peratus, Sarawak 5.6 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 3.7 peratus.

“Peningkatan eksport ini membuktikan daya saing ekonomi negeri-negeri utama negara terus kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa negeri menunjukkan penurunan nilai eksport termasuk Kedah RM515.3 juta, Sarawak RM359.4 juta, dan Pahang RM35.5 juta. Walaupun begitu, trend keseluruhan masih menunjukkan pertumbuhan positif di peringkat nasional.

Dari segi import, nilai keseluruhan meningkat RM8 bilion atau 7.3 peratus tahun ke tahun, disumbang terutamanya oleh peningkatan di W.P. Kuala Lumpur RM4.4 bilion, Pulau Pinang RM2.2 bilion dan Johor RM2 bilion. Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar import negara dengan 25.1 peratus.

DOSM turut mengumumkan bahawa Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN Community Statistical System Committee ke-15 (ACSS15) bagi memperkukuh kerjasama statistik serantau dalam mencapai pembangunan mampan ASEAN.

Dr. Mohd Uzir turut berkongsi pencapaian membanggakan Malaysia yang kini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain. Kedudukan ini melonjak ketara daripada tempat ke-67 pada tahun 2022/23.

Sebagai tanda penghargaan terhadap kepentingan data, kerajaan menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara bertemakan ‘Statistik Nadi Kehidupan’. Platform OpenDOSM NextGen turut disediakan bagi memudahkan rakyat mengakses data dan analisis melalui portal https://open.dosm.gov.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat